:: Usrah ::

DEFINASI
Islam memandang sangat mustahak pembentukan ikatan perpaduan untuk penganutnya. Ikatan itu dinamakan usrah. Melalui usrah kita dapat memimpin penganut Islam ke arah contoh-contoh pujian yang tinggi di samping memperkukuh ikatan yang sedia ada. Selain itu, mutu ukhuwah antara sesama ahli boleh ditingkatkan, iaitu dengan merealisasikan teori dalam perbuatan dan amalan. Oleh itu, kita hendaklah memandang berat dan bersedia untuk menjadi batu bata yang sihat lagi berguna kepada bangunan keluarga bentukan yang mulia ini, iaitu keluarga Islam.

RUKUN USRAH
Rukun ikatan usrah ini tiga perkara iaitu Ta’aruf (berkenalan), Tafahum (bersefahaman), dan Takaful(berimbangan). Kita hendaklah mengambil berat perkara ini dan bersungguh-sungguh menjayakannya supaya ikatan itu tidaklah semata-mata menjadi beban yang tidak bererti.

1. Ta’aruf
Rukun usrah yang pertama ialah taaruf (berkenalan) antara satu sama lain. Ahli usrah hendaklah berkenal-kenalan serta berkasih sayang dengan semangat cinta kepada agama. Kita hendaklah memahami pengertian dan hakikat ukhuwah sejati. Elakkan perkara-perkara yang boleh mengeruhkan ukhuwah itu. Hal ini boleh dilakukan dengan sentiasa menjunjung titah firman Allah dan hadis-hadis Rasulullah s.a.w. Jadikan firman Allah dan hadis Rasulullah s.a.w. sebagai perkara yang wajib diutamakan.

“Orang-orang mukmin itu bersaudara.” (Al-Hujarat, 26:10)

“Berpeganglah dengan tali Allah semuanya dan janganlah kamu berpecah-belah.” (Ali Imran, 3:103)

“Orang mukmin bagi orang mukmin itu laksana bangunan yang sebahagiannya memperkuatkan sebahagian yang lain.” (Hadis)

“Orang muslim ialah saudara bagi muslim yang lain; ia tidak menzaliminya dan tidak juga membiarkannya.” (Hadis)

2. Tafahum
Rukun usrah yang kedua ialah tafahum (bersefahaman). Kita hendaklah berpegang pada kebenaran dengan mengerjakan apa-apa yang diperintahkan Allah dan meninggalkan apa-apa yang dilarang-Nya. Periksalah diri sendiri dengan sehalus-halusnya sama ada diri kita benar-benar mentaati perintah Allah atau terlibat dalam arena kederhakaan. Setelah memeriksa diri sendiri, kita hendaklah nasihat-menasihati antara satu sama lain apabila kelihatan ada sesuatu yang cacat.

Rakan yang dinasihati itu hendaklah bersikap terbuka dan sanggup menerima nasihat dari sahabatnya. Pemberi nasihat pula janganlah berubah hati terhadap sahabat yang tersilap itu–walau sejarak sehelai rambut sekali pun. Nasihat hendaklah diberi dengan cara yang baik tanpa memandang rendah sahabat yang dinasihati itu. Pemberi nasihat janganlah menganggap dirinya lebih mulia. Sembunyikan kesilapan sahabat itu daripada pengetahuan naqib selama lebih kurang sebulan. Ceritakanlah kepada naqib apabila anda tidak berdaya membaikinya. Namun demikian, jangan sekali-kali tawar hati terhadap sahabat yang silap itu. Sebaliknya, teruskanlah kasih sayang anda terhadapnya sehingga Allah melakukan apa-apa perubahan yang dikehendaki-Nya.

Sahabat yang diberikan nasihat pula janganlah keras kepala. Janganlah juga berubah hati walau sejarak rambut sekalipun terhadap si pemberi nasihat. Fahamilah bahawa martabat kasih sayang kerana Allah itu adalah setinggi-tinggi martabat bagi pengertian kasih sayang di kalangan umat manusia. Nasihat pula adalah satu dasar yang amat penting dalam agama Islam.

Rasulullah s.a.w. bersabda (maksudnya), “Agama itu adalah nasihat.” Oleh itu, perhatikanlah dalam-dalam pengajaran yang mulia dalam hadis ini–mudah-mudahan Allah memberi rahmat kepada kamu.

3. Takaful
Rukun usrah yang ketiga ialah takaful yang bermaksud memelihara nasib sesama sendiri agar tiada sahabat yang terbiar atau terlantar. Amalkan rukun ini dengan bersungguh-sungguh, iaitu dengan cara menolong memikul bebanan sesama sendiri. Takaful merupakan tunjang iman dan inti sari ukhuwah sejati. Takaful boleh dijelmakan dengan cara bertanya khabar sesama sendiri, ziarah menziarahi, berganti-ganti membuat kebajikan dengan jalan segera menolong antara satu sama lain sedaya upaya.

Sabda Rasulullah s.a.w. (maksudnya):
“Kalau seseorang daripada kamu itu berjalan kerana hendak menolong saudaranya adalah lebih baginya daripada ia beri iktikaf sebulan di masjidku ini.” (Hadis)

Sabda baginda lagi (maksudnya):
“Sesiapa memberikan kesukaan kepada keluarga sesebuah rumah orang muslim nescaya tidak lain yang dibalas Allah melainkan dengan syurga.” (Hadis)

KANDUNGAN USRAH

Apakah yang perlu dilakukan dalam pertemuan mingguan usrah yang menepati maksud, rukun dan peringatan di atas? Jawapannya mudah: Kita mempunyai banyak kewajipan sedangkan masa kita terlalu sedikit. Oleh itu pertemuan mingguan kita hendaklah dipenuhkan dengan perkara-perkara yang berikut:

1. Membentangkan kesulitan

Setiap anggota membentangkan kesulitan masing-masing. Beri perhatian terhadap kesulitan yang diluahkan oleh dan rakan kita dan berusahalah mengatasinya. Lakukan hal ini dalam suasana ukhuwah sejati dan dengan niat kerana Allah. Dengan demikian dapatlah diperkuatkan lagi asas saling percaya-mempercayai dan tali hubungan ukhuwah dapat diperkukuhkan.

 

Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya, “Orang mukmin itu cermin bagi saudaranya.”

Sabda Rasulullah s.a.w. lagi (maksudnya):

Perbandingan orang-orang mukmin dalam erti kata kasih sayang mereka, dan dalam erti kata timbang rasa simpati mereka adalah laksana badan yang satu, iaitu apabila mana-mana anggota mengadukan hal turut menangguhkan seluruh badan dengan berjaga malam dan merasai demam.

2. Bermuzakarah

 

Anggota usrah hendaklah bermuzakarah iaitu bertukar-tukar fikiran dalam urusan Islam. Teliti risalah yang diedarkan oleh pucuk pimpinan kepada seluruh cawangan usrah. Elakkan pertengkaran atau bertikam lidah kerana semuanya itu adalah dikira “haram” menurut undang-undang usrah. Muzakarah hendaklah merupakan penerangan dan penjelasan dengan tidak melanggar batas-batas sopan santun yang sempurna dan dengan cara harga-menghargai fikiran yang datang daripada semua pihak dalam muzakarah itu. Apabila hendak ditutup satu-satu perbincangan, atau hendak dibuat keputusan mengenai apa-apa cadangan, atau hendak diberi penjelasan lanjut mengenai cadangan yang hendak ditimbangkan itu, maka perkara itu hendaklah diserahkan kepada naqib supaya beliau sempat terlebih dahulu mengemukakannya kepada pucuk pimpinan.

Jangan dibuat keputusan dengan cara terburu-buru. Tuhan mencela umat-umat manusia yang bersikap terburu-buru dengan firman-Nya yang bermaksud :

Dan apabila datang kepada mereka sesuatu perkara tentang keamanan atau ketakutan maka mereka pun terus mencanangkannya.

Setelah Allah S.W.T. mencela mereka yang berperangai begitu maka Tuhan tunjukkan pula apa-apa yang semestinya dilakukan apabila tersua dengan suasana seperti itu dengan firman-Nya yang bermaksud:

Kalaulah mereka kembalikannya kepada Rasul dan kepada pihak berkuasa antara mereka sendiri nescaya orang-orang yang menimbangkannya itu mengetahui hakikatnya.

3. Kajian Buku

 

Adakan studi (penelitian) terhadap sesebuah kitab yang bermutu. Jelmakan studi itu dalam kehidupan harian walaupun hanya sekadar mengamalkan bermuka manis. Panduan daripada buku boleh disampaikan dalam taklimat sesuatu projek seperti menziarahi orang sakit; menolong orang-orang yang berhajat (walaupun hanya sekadar kata-kata yang baik), mencari dan bertanyakan hal tentang anggota yang tidak kelihatan bersama-sama kumpulan, menanggung bebanan anggota yang terputus rezeki. Semuanya itu dapat menambahkan lagi tali ukhuwah dan dapat melipatgandakan perasaan kasih sayang dalam hati masing-masing.

4. Aktiviti Sokongan

Untuk mengukuhkan ikatan persaudaraan sesama sendiri, kita hendaklah mengadakan rehlah, lawatan, aktiviti lasak seperti mendayung sampan, mendaki gunung dan berbasikal. Kita hendaklah juga mengadakan aktiviti khusus seperti berpuasa (seminggu sekali atau dua minggu sekali), solat Subuh berjemaah di masjid dan qiamullail.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s