:: Seindah Mawar Berduri: Part 6 (Akhir) ::

Cerpen Seindah Mawar Berduri ini merupakan hasil karya saudari Fatimah Syarha Mohd Noordin. Pertama kali ana membacanya adalah pada tahun 2006, ketika baru mula Foundation di kampus ana. Sahabat ana, Farashida, merupakan individu yang memperkenalkan ana dengan cerpen indah ini. Kagum dan tertarik dengan pengajaran yang boleh diambil daripada cerpen ini, ana merasakan ada bagusnya jika dapat dikongsikan di blog ini, untuk tatapan sahabat-sahabat yang lain. Moga memberi manfaat.

Untuk memudahkan pembacaan, ana membahagikan cerpen ini kepada beberapa bahagian (bersiri..hee). Stay tuned. 😎

******************************************************

SEINDAH MAWAR BERDURI: PART 6 (akhir)

“Mak Cik, Mak Cik macam mana?” Asyraf bersuara lembut sebaik sahaja wanita berwajah lembut itu perlahan-lahan membuka mata. Badannya masih lemah terbaring di katil hospital.

“Asyraf? Asyraf ke ni? Mak Cik bermimpi?” Mak Cik Zahra minta kepastian sambil tangannya digosok-gosok ke mata.

“Ini Asyraf mak cik. Mak cik tak bermimpi!” Asyraf mengukir senyuman.

“Oh, Asyraf! Mak cik rindukan kamu….kamu sihat?” ceria wajah penyayang itu.

“Alhamdulillah, saya sihat. Saya minta maaf sebab menyusahkan keluarga mak cik. Ampunkan saya!” Asyraf memang cukup kesal.

“Tak ada apa yang perlu dimaafkan. Asyraf, pulanglah ke Malaysia. Tak baik membiarkan mak dan ayah kamu rindu. Kasihan mereka,” seakan suatu rayuan. Asyraf tertunduk.

“Maafkan saya, mak cik. Biarlah saya fikirkan dulu. Namun, saya tahu Malaysia tetap negara saya. Keluarga saya di sana….” Asyraf bersuara perlahan.

“Ramai orang yang sedang menunggu kamu pulang…pulanglah!” Mak Cik Zahra merayu lagi.

“Err…bila mak cik dan pak cik nak balik ke Malaysia?” Asyraf bertanya.

“Tak pasti lagi, Asyraf. Lepas ni, kami nak buat umrah di Mekkah. Mak cik tak nak lama di Jepun, Mak cik tak tahan dengan musim salji…” terang mak cik Zahra.

“Tapi…tahan ke mak cik dengan suhu panas di Mekkah nanti?” Asyraf mengingatkan.

“Panas Mekkah penuh baraqoh! Mak Cik tak kisah… mati di sana pun, tak mengapa. Lagi baik…” tenang wajah mak cik Zahra.

“Eh, mana pak cik kau?” wajah suami tersayang berlegar-legar di fikiran.

“Pak cik ada berehat di rumah saya. Saya datang ni pun sebab nak jemput mak cik. Insyallah, saya akan dapatkan rawatan peribadi untuk mak cik nanti.”

“Bang, tak sabar rasanya nak sampaikan berita nie pada ummi dan abah, tentu mereka bersujud syukur. Asrar dah dapat imagine, cerianya wajah-wajah ummi dan abah nanti…” Khazinatul Asrar mengomel manja di sisi suaminya. Mereka dalam perjalanan pulang dari Tanah Suci Mekkah.

“Banyakkan bersyukur…pastikan Asrar cukup halus menjaga maksiat hati agar si comel kita dipelihara Allah dari karat mazmumah. Dampingi Al-Quran selalu agar itulah yang menjadi hujjah hidupnya nanti. Sejak di alam rahim, kenalkanlah dia pada ibadah hati dan fizikal, agar dia rasa lazat bersama Penciptanya. Mudah-mudahan lahirlah dia sebagai zuriat yang soleh. Rasulullah cukup berbangga tiap kali umatnya lahir, moga-moga bakal mewarisi perjuangan Baginda,” pesan seorang nakhoda bahtera rumahtangga.

Sebelum berangkat pulang, ayahbonda Mustaqhim Al-Qordhowi beberapa kali sujud di Baitul Haram. Cucu dari anak lelaki bungsunya itu cukup dinanti-nantikan. Mereka terharu kerana menerima berita Khazinatul Asrar mengandung selama sebulan di bumi barokah tersebut. Khazinatul Asrar termuntah-muntah dalam tudungnya tatkala bertahajjud di Masjidil Haram. Badannya lemah longlai, tak bermaya. Mulanya, ingatkan dia cuma demam, rupa-rupanya doktor mengesahkan bahawa dia alahan kerana mengandung.

Di lapangan terbang, kepulangan mereka disambut oleh puluhan sanak saudara. Khazinatul Asrar gembira kerana Mak Cik Nab dan Pak Cik Soleh pun turut serta. Maha luasnya rahmat-Mu, Ya Allah!

“Mana ummi dan abah?” bisik hatinya sambil meninjau-ninjau dua wajah tercinta itu dari celahan manusia. Ibu Mustaqhim Al-Qordhowi pula begitu exited mengumumkan berita gembira tentang menantunya. Khazinatul Asrar tersenyum manis sambil menggenggam erat jari jemari ibu mentuanya. Suasana bertambah meriah dengan berita itu. Mak cik Nab menghampiri Khazinatul Asrar sambil memohon maaf. Dipeluknya gadis itu. Pak Cik Soleh pula tersenyum malu pada Mustaqhim Al- qordhrowi. Mustaqhim Al-qordhrowi terlebih dahulu menghulurkan tangan, bersalaman dengan Pak Cik Soleh. Awan mendung berarak sudah, terjalin kembali ukhuwwahfillah, yang takkan lagi musnah, walau ombak badai dating mendesah, tautan erat tak mungkin patah.

“Ummi dan abah tak datang?” soalan yang sudah sedia diduga oleh semua sanak saudara yang mengerumuni mereka. Seorangpun tidak tampil memberikan jawapan. Malah ada yang mula berlawak jenaka agar soalan itu berlalu tanpa jawapan. Mak Cik Nab cepat-cepat mengajak pulang. Enam buah kereta siap menanti.

“Mungkin ummi dan abah menanti di rumah!” pujuk hati kecil Khazinatul Asrar. Hatinya begitu melonjak untuk mengucup tangan dan pipi keduanya bersama sebuah berita gembira.

“Mustaqhim, Asrar…apa kata kalau ke rumah kakak, boleh?!” ajak Kak Mukminah, kakak sulung Mustaqhim Al-qordhrowi yang dah pun mempunyai lima orang anak. Pintu keretanya dibuka untuk mempersilakan adiknya masuk bersama isteri. Ayahbonda Mustaqhim Al-qordhrowi sudah pun masuk ke kereta Kak Muslimah, anak kedua mereka yang sudah 3 tahun berumah tangga dengan seorang warga Pakistan. Muslimah tinggal sementara bersama ayahbondanya di Bandar Al-Muktafi Billah Syah sementara menanti suaminya yang menguruskan urusan perpindahan di Pakistan.

“Eh, Mak Cik Nab dah masak sedap-sedap. Balik rumah kami sajalah..” pelawanya bersungguh-sungguh.

“Terima-kasihlah semua. Asrar rasa nak balik rumah Asrar dulu… boleh kan, bang? Kasihan ummi dan abah yang dah lama menanti di rumah,” pelawaan itu ditolak baik. Mereka terdiam lagi.

Akhirnya, Pak Cik Soleh dan Mak Cik Nab menghantar mereka pulang ke rumahnya yang sepi tak bertuan. Khazinatul Asrar dan suaminya tertanya-tanya melihat rumahnya rapat berkunci. Akhirnya, Mak Cik Nab berani membuka mulut, menceritakan apa yang telah berlaku. Nadanya sebak dan rasa bersalah.

“Apa? Ummi dan abah ke Jepun? Semata-mata mencari Abang Asyraf?! Ya Allah, lindungilah mereka…” Khazinatul Asrar cuba mengawal perasaan. Kolam matanya tidak mampu lagi menyeka banjir air mata.

“Bila ummi dan abah akan pulang, mak cik?” soalnya kesayuan.

“Sayang…kita masuklah dulu. Kasihan pak cik dan mak cik berdiri di luar begini. Abang ada kunci spare ni,” pujuk seorang suami. Khazinatul Asrar akur. Dioraknya langkah lemah.

Di ruang tamu, ada sekeping manila card menyambut kepulangan mereka di atas meja tamu. Tulisan abah tertera di situ…

“ASSALAMUALAIKUM. SELAMAT PULANG PENYERI KELUARGA! MAAFKAN ABAH DAN UMMI KERANA KAMI RASA MUNGKIN KAMI TAK SEMPAT MENYAMBUT ANAKANDA BERDUA DARI TANAH SUCI. MUSAFIR KAMI ADALAH MUSAFIR YANG MUNGKIN PANJANG. DOAKAN AGAR ALLAH MEREDHOI ABAH DAN UMMI DAN DOAKAN AGAR KAMI BERJAYA MENCARI ASYRAF DEMI MENJALINKAN KEMBALI SEBUAH PERSAUDARAAN…KERANA ALLAH!”
LOVE,
ABAH DAN UMMI.
______________________________________________________________
 
Bertambah sayu sekeping hati seorang anak. Mak Cik Nab dan Pak Cik soleh juga turut sebak menahan pilu. Mereka benar-benar rasa bersalah dan berdosa terhadap keluarga itu. Lantaran itu, berulang-ulang kali mereka memohon maaf, sementara Khazinatul Asrar dan suami berulang kali juga melarang mereka agar tidak memohon maaf lagi. Tiada maaf yang perlu diberikan kerana mereka tak pernah menyimpan dendam. Persaudaraan dan berkasih sayang adalah prinsip keluarganya.

“Abah, ummi…Asrar akan menanti kepulangan abah dan ummi! Begitu juga kandungan Asrar ini. Abah…ummi… Asrar terlalu rindukan abah dan ummi, pulanglah…” monolog Asrar sendiri.

“Mungkin Allah atur ujian ini untuk mengajarku lebih berdikari sebagai seorang isteri
tanpa abah dan ummi. Allah Maha Perancang, aku redho…” pujuk hati Khazinatul Asrar, berbaik sangka dengan Allah.

******************************************************************

“Mummy, kalau boleh Hijriah nak jemput sendiri Khazinatul Asrar ke majlis perkahwinan Hijriah nanti. Boleh tak mummy temankan Hijriah ke sana hujung minggu ni…ala, bolehlah Mummy!!” Hijriah cuba memujuk ibunya.

“Kawan Hijriah, Humaira’ tu pun nak ikut sekali. Kami dah rindu sangat kat Khazinatul Asrar,” terus memujuk.

“Nanti Mummy check balik diari Mummy, rasa macam ada appointment dengan client Mummy this weekend…” begitulah gaya wanita berkerjaya.

“Never mind.. Daddy boleh bawakan,” pelawa daddy Hijriah tanpa dipinta.

“Betul ke ni, Daddy? Eh, macam tak caye!” Hijriah melonjak keriangan. Daddynya betul-betul berubah sikap sejak dirinya bakal diambil orang. Masakan tidak, lelaki separuh abad bergelar Dato’ itu sebenarnya cukup bimbang kalau-kalau anak tunggalnya itu di bawa ke Libya. Sepilah banglo itu nanti, tiada erti lagi segala kemewahan.

“Tentu Asrar terkejut kalau datang dengan surprise…” Hijriah tersenyum nakal sambil bercakap dengan diri sendiri. Terus sahaja dicapai ganggang telefon untuk menyampaikan plan itu pada Humaira’.

“   …   …”

Suatu suara garau bergema di muka pintu pagar Mak Cik Nab.

“Alif, Aina, Alim, Kak Ngah…pergilah tengok siapa yang datang tu. Mak tengah masak ni,” laung Mak Cik Nab dari ceruk dapur.

“Alif tengah sibuk ni…abang Alim tu relex-relex je!” suara Alif pula melaung kuat sambil sibuk bermain game.

“Apa pulak…Alim tengah makan ni!” si alim pula memberi alasan sambil makanan ringan Mamee Monster itu dirangupnya satu persatu.

“Ha…ha…jangan nak suruh Aina pulak. Aina tengah temankan si Tompok ni. Dia takut main sorang-sorang nanti bapaknya gigit,” cepat-cepat Aina memberi alasan sambil dipusing-pusingnya tali benang supaya ditangkap oleh anak kucing kesayangannya.

“Mak, Kak Ngah tengah tidur ni…adik-adik tu pemalas, cubit jea!” gadis remajanya pula yang mencecah Tingkatan Tiga memekik dari dalam bilik. Serentak dengan itu sebuah kereta meluncur ke perkarangan pintu pagar. Hon dibunyikan berkali-kali.

“Eh, tu kereta ayah!” spontan sahaja Alif, Aina, Alim dan Kak Ngah meluru keluar. Takut dimarahi nanti. Kelihatan di luar pagar sana, ayah sedang berpelukan dengan seseorang. Berkeriuk dahi mereka melihat telatah ayah.

“Eh, abang Long!!!!” jerit Alim tiba-tiba. Semuanya riuh rendah menjerit memanggil-manggil nama abang mereka. Mak Cik Nab sangat terkejut, lantas meninggal sahaja ayam goreng yang masih tercelup dalam minyak panas di atas dapur, tergesa-gesa dia meluru ke luar.

“Ya Allah, Asyraf??!!” Mak Cik Nab seakan tidak percaya.

“Mak, Asyraf mintak maaf! Ampunkan Asyraf…” tangan ibunya dikucup mesra.

“Syukurlah kau dah balik, Asyraf. Mak Cik Zahra dan Pak Cik Abdul Rahim kau tentu balik sekali, kan?!” nada Mak Cik Nab berbaur harapan.

“Tak, mak! Mereka terus berangkat ke Tanah Suci…” jelas Asyraf. Badannya yang letih direbahkan ke sofa empuk.

“Iya?! Oh..kasihan Asrar terlalu merindukan mereka!” kesal Mak Cik Nab.

“Ini semua salah ayah…” Sesalan demi sesalan masih menghantui Pak Cik Soleh.

“Tak, ayah! Sayalah puncanya!” Asyraf membela ayahnya. Pak Cik Soleh tetap menyesali perbuatannya terhadap keluarga itu sambil menceritakan segalanya kepada Asyraf. Asyraf terkedu seketika.

“Mulianya hati Mak Cik Zahra dan Pak Cik Abdul Rahim. Mereka tak pernah menceritakan apa-apa keburukan tentang mak dan ayah sepanjang di sana. Khabar baik-baik sahaja mereka sampaikan,” luah asyraf. Mak Cik Nab dan Pak Cik Soleh tertunduk malu. kesal.

“Eh, bau apa ni?” ayah Asyraf tiba-tiba menyedari suatu bau yang menusuk hidung. Hangit.

“Err…jangan suruh Kak Ngah. Kak Ngah nak tolong angkat beg abang Long ni,” gadis belasan tahun itu cepat-cepat berlalu sambil mengangkat beg berat abangnya.

“Kau tengoklah adik-adik kau, Asyraf,” ibunya berleter sambil bergegas ke dapur. Asyraf memandang adik-adiknya yang comel.

“Ooo…abang Long tak de, semua nakal yea!” mulalah adik-adiknya bising membela diri.
Asyraf menggeleng-gelengkan kepala.

“Ayah, esok saya nak ziarah Asrar dan suaminya. Saya sedar kini, dia bagaikan adik kandung saya sendiri. Saya rasa bersalah pada Mustaqhim,” kata Asyraf.

Sebuah kereta Mercedez Benz mewah berwarna silver metallic diparking di perkarangan rumah Khazinatul Asrar.

“Mungkin dia ada tetamu,” bisik hati kecil Asyraf. Setelah difikir beberapa kali, dia meneruskan juga niatnya untuk menziarahi Khazinatul Asrar sekeluarga. Apatah lagi, adiknya itu sudah tentu terlalu ingin mengetahui khabar abah dan umminya. Seperti kedatangan Hijriah, kedatangan Asyraf sangat memeranjatkan Khazinatul Asrar dan suaminya. Semuanya datang dengan tiba-tiba. Berdegup kencang jantung Khazinatul Asrar untuk mendengar berita abah dan umminya yang tidak pulang bersama Asyraf dari Jepun. Namun, sebagai adab melayan tetamu, dia mempersilakan dulu Asyraf duduk. Tidak terburu-buru untuk bertanya. Kemudian, diperkenalkan Asyraf kepada daddy Hijriah, Hijriah dan juga Humaira’.

“Asrar, abang minta maaf atas semua yang berlaku,” Asyraf sudah tidak mampu lagi menahan rasa bersalah walaupun di depan tetamu lain.

“Tidak, abang Asyraf! Bukan silap abang. Semuanya kehendak Allah. Bagaimana ummi dan abah, mereka sihat?” Tanya Khazinatul Asrar bersopan.
“Alhamdulillah….Cuma, Mak Cik Zahra yang kurang tahan dengan perubahan cuaca. Apatah lagi di musim salji. Tapi, sekarang mereka tak berada lagi di Jepun, mereka dah pun ke Tanah Suci Mekkah.” Jelas Asyraf. Khazinatul Asrar tenang mendengarnya.

“Sama-samalah kita doakan mereka…” Mustaqhim Al-Qordhrowi menambah. Asyraf pantas merenung wajah yang bercahaya dengan nur keimanan di sisi Khazinatul Asrar.

“Mustaqhim…saya pun ingin minta maaf dari kamu kerana banyak menyusahkan. Insyallah, saya datang kali ni sebagai abang kandung Asrar. Kita kan tetap bersaudara…” tutur katanya sarat dengan keikhlasan. Semuanya tersenyum.

“Nanti, jemputlah sekali ke rumah!” daddy Hijriah yang berpangkat Dato’ itu menghulurkan kad perkahwinan anaknya kepada Asyraf. Asyraf ceria mencapai kad itu dan menatapnya seketika. Kemudian, pandangannya beralih pada dua orang gadis di sebelah lelaki yang agak berusia itu. Kedua-duanya manis berbusana Muslimah. Dijelingnya pula jari-jemari mereka. Salah seorangnya memakai cincin berlian di jari manis. Itulah Hijriah seperti yang diperkenalkan sebelumnya. Degupan jantungnya tiba-tiba berdeguk agak kencang tatkala menyedari gadis di sebelah Hijriah itu tiada sebentuk cincin pun menghiasi jari sebagai tanda diri yang belum berpunya. Namun, Asyraf tidak berani mengangkat pandangannya terlalu lama. Bimbang kalau- kalau menimbulkan maksiat pada hati. Apatah lagi, tabir aurat yang menghijab diri menimbulkan rasa hormat buat mana-mana lelaki. Salah satu ciri-ciri mawar berduri. Pertemuan yang tidak dirancang itu semuanya telah menjadi perancangan Ar- Rahman. Dia Maha Berkuasa mentaqdirkan apa sahaja. Yang pasti, Dia Maha Penyayang terhadap hamba-Nya.

“Mungkin, dia seindah Aisyah Al-Humaira’ untukku…” bisik hati kecil Asyraf.
************************************************************************

Rahmat Allah yang melimpah-limpah begitu terasa. Pak Cik Abdul Rahim bersyukur kerana kali ini, di tengah-tengah lautan manusia dia berpeluang mencium Hajaratul Aswad. Dingin pagi yang menanti kehadiran fajar as-siddiq, mencengkam ke tangkai naluri. Langit gelap yang tak berawan menambahkan lagi kedinginan subuh. Meskipun begitu, jutaan manusia yang bergelar hamba tidak tergoda dengan lena, masing-masing lunak dalam esak tangis mendambakan keampunan Pencipta. Terasa hangat bahang keagungan Allah, pemilik kerajaan alam semesta.

Dalam kelazatan rintihan dengan nikmat ketenangan, tiba-tiba bauan harum semerbak daripada kuntuman-kuntuman mawar menyelinap masuk ke rongga hidungnya. Mata yang sejak tadi terpejam khusyuk, dibuka perlahan-lahan. Jemaah umrah di kiri dan kanannya tidak menunjukkan respond apa-apa. Terus khusyuk menghadap Khaliqnya. Bagaikan dia seorang sahaja yang tercium haruman wardah itu. Bauan itu sepintas lalu dibawa angin dingin. Perlahan-lahan pandangannya beralih pula ke kaabah yang tersergam megah dan indah. Gemersik dedaunan Raihan dengan irama mengasyikkan…bermain-main di pendengarannya. Tiba-tiba, kelihatan di dada Kaabah terskrin secara samar-samar wajah seorang wanita yang cukup dikenali, cukup disayangi. Wajah itu indah bermandikan seri, penuh perhiasan yang melengkapi, bagaikan bidadari dari Taman Firdausi. Itulah wajah isteri tercinta, ibu yang telah melahirkan Khazinatul Asrar untuknya. Manis wajah itu mengukir senyuman. Semakin lama, semakin menghilang lalu luput dari pandangan. Segalanya berlalu pantas.

Lama Pak Cik Addul Rahim terpukau dengan peristiwa ajaib yang dilaluinya di awal Subuh di Tanah Suci…sehinggalah azan Subuh mendayu-dayu kedengaran dari menara-menara yang terbina kukuh di sudut-sudut Masjidil Haram. Selepas mendirikan solat Subuh berjemaah bersama jutaan Ummat Islam, dia bergegas ke hotel penginapan untuk menyampaikan berita menakjubkan itu kepada isterinya.

“Zahra, wajahmu dimuliakan Allah, terskrin di dada kaabah!” lonjak hatinya. Setibanya di hotel, sarapan untuk jemaah umrah sudah sedia menanti, namun isterinya masih belum pulang dari Masjidil Haram. Sabar lelaki itu menanti.

“Mungkin dia solat sunat Syuruk seterusnya menunggu Dhuha,” fikirnya. Lama waktu penantiannya….berjam-jam. Diisi dengan tasbih dan zikir. Jantungnya asyik berdebar-debar. Entah mengapa… Tak lama kemudian, muncul kelibat seseorang. Pengurus jemaah umrah Malaysia rupanya. Lelaki itu berjalan ke arahnya.

“Encik ni, Abdul Rahim bin Abdullah?” Tanya pengurus itu.

“Ya, saya!” jawab Pak Cik Abdul Rahim tersenyum mesra.

“Err, suami kepada Puan Zahra binti Muhammad?” tanyanya lagi.

“Ya, ya…” balasnya, makin tersimpul senyuman. Rupa-rupanya, kehadirannya bersama satu berita. Seorang jemaah umrah Malaysia telah dipanggil menghadap Allah buat selama-lamanya. Nyawanya diangkat di Masjidil Haram.

“Zahra meninggal dunia???” satu hakikat yang sukar ditelan. Perginya takkan kembali lagi, meninggalkan semua yang menjadi kesayangan, membakar tiap kerinduan dan kasih sayang.

“Allahyarhamah mati dalam keadaan memangku al-Quran setelah solat Tahajjud,” jelas pengurus itu lagi. Dada Pak Cik Abdul Rahim berombak kencang. Dia cuba mengumpul ketabahan dan kekuatan.

“Innalillahi wainna ialihi rojiu’n…” manik-manik jernih gugur membasahi pipinya satu persatu. Kolam matanya tewas menentang arus kesedihan.

“Beratnya ujian ini…Oh, Tuhan!!!” dadanya sedih menahan sebak.

“Zahra, kau pinjaman Allah! Abang redho dengan kuasa Allah menarik balik pinjaman- Nya. sedangkan Rasulullah juga berpisah dengan Khadijah tercinta…Al-Fatihah,” bisik hatinya penuh sayu dan hiba. Pipinya banjir dibasahi air mata.

Jenazah ibu Khazinatul Asrar selamat disemadikan di Bumi Barakoh, Mekkah Al-Mukarromah. Beruntunglah dia kerana disembahyangkan oleh lautan para jemaah umrah. Tenang wajah Allahyarhamah di saat kematian.

“Ya Allah, golongkan dia bersama golongan yang Kau redhoi kerana dia isteri yang solehah. Jadikan dia sebagai bidadariku andai aku layak untuk syurga-Mu..amin ya Rabbal A’lamin,”. Doa kudus seorang suami mengakhiri tawaf wida’ sebelum berangkat dari Tanah Suci.

Hatinya berbisik lagi, “Khazinatul Asrar puteriku, maafkan abah kerana pulang tanpa ummi bersama. Semoga kau akan tabah menerima suratan ini nanti. Abah dapat rasakan, betapa pilunya hatimu duhai puteriku kerana tak dapat lagi melihat ummi untuk selamanya. Ummi milik Allah, anakku…Allah lebih menyayanginya. Abah terpaksa tinggalkan jenazah ummi di Bumi Barakoh ini, namun sifat penyayang ummi tetap abah bawa pulang bersama. Moga, kaulah nanti yang mewarisi keindahan ummimu sabagai hiasan duniawi seorang suami, seindah mawar berduri……..”
Dan air mata lelakinya tumpah lagi.

Tamat..!

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s